Make your own free website on Tripod.com
Taman Ilmu

Persiapan Menyambut Ramadhan

 

Kewajipan berpuasa telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam satu ayat Al-Quran dalam surah al-Baqarah , ayat : 183 yang bermaksud ;

"Wahai orang -orang yang beriman ! Difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."

Manakala kelebihan bulan Ramadhan al-Mubarak ini pula telah diterangkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w . Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ;

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu suatu bulan yang diberkati , maka Allah memfardhukan ke atas kamu berpuasa pada bulan tersebut. Bulan yang dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu-pintu neraka, syaitan -syaitan dibelenggu , serta di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan (lailatul qadar).Barangsiapa yang terhalang dari kebaikan malam itu , maka terhalanglah dia dari segala kebaikan."

Begitulah betapa besarnya kelebihan yang terdapat di Bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Keutamaan dan kelebihan yang ditentukan dalam bulan Ramadhan tidaklah sewajarnya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kegagalan untuk memanfaatkan Ramadhan al-Mubarak adalah merupakan suatu kerugian yang amat besar .Marilah kita merenung sejenak apakah bentuk-bentuk persiapan yang perlu dilakukan dalam menyambut bulan yang mulia ini.

Antara persiapan -persiapan tersebut ialah ;

Mempersiapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang cukup berhubungan dengan ibadah puasa serta ibadah -ibadah lain yang bersangkutan dengan Bulan Ramadhan.

Persiapan dari sudut rohani. Ini bertujuan untuk menjana kekuatan rohani dengan keimanan yang tulus ikhlas kepada Allah s.w.t . Dengan mengutamakan aspek keimanan ,dapat membendung daripada dorongan hawa nafsu serta membersihkan diri daripada sifat yang tercela.

Persiapan dari sudut fizikal, iaitu dengan cara merancang kerja seharian jangan sampai meletihkan diri di Bulan Ramadhan ini hingga menyebabkan kehilangan tenaga untuk beribadat. Ini bermakna penyelarasan kerja-kerja harian perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Semoga dengan persiapan yang dibentuk menjelang Ramadhan al-Mubarak , pelaksanaan ibadah puasa pada tahun ini akan menghasilkan natijah yang baik untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.