Taman Ilmu

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

 

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI

Oleh kerana hari ini kita sudah berada di minggu ke-3 bulan Rejab 1424H, maka khutbah hari ini akan memperkatakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj.

Firman Allah ta`ala:

Yang bermaksud :

"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya ( Muhammad ) pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ( Mekah ) ke Masjidil Aqsa ( Palestin ), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda ( kekuasaan dan kebesaran ) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui."

Ayat yang baru dibacakan menjelaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj bukanlah satu cerita dongeng yang sengaja direka-reka atau diadakan oleh Rasulullah s.a.w ; sebaliknya Allah sendiri telah menerangkan tentang betulnya peristiwa itu telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Allah mengadakan peristiwa ini dengan mengaturkan acara berjalan malam dan mengembara ke langit tanpa dirancang oleh Rasulullah s.a.w pada 27 Rejab ,tahun 620M bersamaan 1 tahun sebelum hijrah. Allah sengaja memilih waktu malam dan tidak waktu siang.Kemudian Allah memilih tempat yang teristimewa sebagai tempat berlakunya peristiwa ini, iaitu dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa , di mana kedua-dua Masjid ini adalah rumah Allah yang paling tinggi tarafnya daripada tempat-tempat lain. Allah juga telah memilih masa satu tahun sebelum hijrah. Kesemua faktor-faktor ini mempunyai hikmat-hikmat yang tersendiri yang tidak dapat difahami dengan tepat oleh sesiapa juga manusia di dunia ini.

SAUDARA KAUM MUSLIMIN

Kita tidak sepatutnya menolak peristiwa ini atau tidak mempercayainya dengan menggunakan logik dan fikiran kita semata-mata kerana peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah di antara salah satu mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w sebgai bukti tentang kebenaran risalah yang disampaikan oleh baginda. Kalaulah Rasul-rasul yang sebelumnya seperti Nabi Allah Musa a.s dan Isa boleh mendengar atau bercakap-cakap dengan Allah tetapi di dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah diberikan kelebihan boleh bertemu dengan Allah. Apabila disebut mukjizat bermaksud peristiwa ini adalah suatu perkara yang luar biasa. Banyak peristiwa-peristiwa yang seperti ini berlaku pada diri Rasulullah dan Rasul-rasul yang lain sehinggalah wujud di kalangan penganut Islam di zaman itu keluar dari agama Islam dan menolak kebenaran Rasulullah s.a.w. Sebab itulah di dalam ayat yang saya bacakan tadi jelas diterangkan oleh Allah s.w.t bahawa Allah kurniakan malam Israk dan Mikraj ini penuh dengan keberkatan dan dengan tujuan untuk memperlihatkan kekuasaan dan sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dengan keberkatan Allah sahajalah Rasulullah s.a.w boleh berjalan sedemikian rupa dan naik ke langit hingga ke Sidratul Muntaha dan tanpa adanya kekuasaan Allah , peristiwa seperti itu mungkin tidak akan berlaku hatta pada zaman kemajuan sains dan teknologi ini pun manusia hanya sekadar boleh sampai ke bulan sahaja. Sedangkan Rasulullah s.a.w berjaya meneroka ke lapis langit ke-7 iaitu lapisan yang paling tinggi sekali. Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku setelah beberapa tahun Rasulullah s.a.w menyebarkan agama Islam kepada masyarakat ketika itu, di mana umat Islam pada ketika itu kian bertambah dari masa ke semasa.

KAUM MUSLIMIN YANG DIHORMATI

Allah maha mengetahui bukan smua iman umat Islam pada ketika itu cukup kuat dan betul-betul kukuh. Ianya belum pernah diuji dan dicabar untuk membuktikan sejauhmana kepercayaan terhadap Rasulullah dan agama Islam yang disampaikan itu. Untuk tujuan inilah Allah s.w.t mengadakan peristiwa Israk dan Mikraj supaya Allah dapat memperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w golongan manakah yang benar-benar kuat imannya dan manakah yang masih lemah imannya. Dengan cara Rasulullah menceritakan peristiwa berjalan di darat dan mengembara ke angkasa lepas, yang beratus-ratus ribu batu berlaku dalam masa semalaman , sudah cukup untuk menggoncang iman-iman mereka yang lemah. Di sebalik peristiwa yang luar biasa ini pula akan mengukur sejauh mana tebal dan bertambah kuat iman seseorang mukmin dan muslim itu kepada agama Islam yang dianuti apabila ia berkeyakinan penuh peristiwa-peristiwa yang berlaku di luar keupayaan manusia ini. Dari kenyataan ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa kita sebagai umat Islam seharusnya cuba mengukur iman kita sendiri dengan berpandukan kepada kepercayaan kita kepada peristiwa yang luar biasa yang diceritakan oleh Al-Quran dan Rasulullah s.a.w. Kalau kita masih ragu, tidak takut kepada wujudnya hari akhirat siksaan api neraka, tidak percaya kepada wujudnya syurga, tidak percaya kepada qada' dan qadar , tidak percaya kepada malaikat, tidak percaya kepada al-Quran itu suatu peraturan dan panduan yang diturunkan oleh Allah dan bukan ciptaan Rasululllah s.a.w. Maka selagi itulah keimanan kita masih boleh dipertikaikan. Ianya pasti masih lemah dan kita seharusnya berusaha untuk memperkuatkan lagi iman kita mengikut cara-cara yang telah ditetapkan oleh Islam.

PARA JEMAAH SEKALIAN

Kalaulah kita lihat jalan cerita peristiwa Israk dan mikraj itu diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dan segala perkara yang berlaku pada malam tersebut , jelas bahawa malam Israk dan Mikraj itu sememangnya penuh dengan hikmah-hikmah dan memberi kesan yang baik kepada perkembangan Islam itu sendiri, bahkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di malam tersebut juga telah memberikan kebenaran , pengajaran, ingatan dan ajaran kepada manusia kembali semula ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dikeji dan diharamkan oleh Islam. Di antara iktibar yang boleh diambil dari peristiwa-peristiwa yang berlaku yang dilihat sendiri oleh Rasulullah s.a.w atau yang dialami oleh baginda, bolehlah diringkaskan seperti berikut;

1. Rasulullah s.a.w diIsrakkan dan diMikrajkan pada malam tersebut ialah untuk ditemukan baginda dengan Allah s.w.t.

2. Pertemuan Rasul yang diundang khas oleh Allah s.w.t itu adalah semata-mata untuk menyampaikan perintah ibadah sembahyang lima waktu.

3. Ibadah sembahyang adalah ibadah yang paling tinggi tarafnya, tinggi nilainya, tinggi ganjarannya.

4. Ibadah sembahyang adalah sebagai kemuncak atau asas di dalam membentuk peribadi muslim. Ianya sentiasa mengamalkan dengan yang makruf dan meningalkan segala yang munkar.

5. Di antara kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan manusia ialah;

-melakukan perbuatan zina, walaupun ianya telah bersuami atau beristeri.

-memakan makanan dan meminum minuman yang haram.

-memakan riba dan harta anak yatim. -mengumpat , menabur fitnah dan suka menjaga tepi kain orang lain.

-suka membuat janji tetapi tidak menunaikannya.

-suka berebut-rebut untuk memegang sesuatu jawatan dan tanggungjawab sedangkan dirinya tidak berkelayakan dan tidak berdaya melaksanakannya.

6. Rasulullah s.a.w adalah lebih tinggi kedudukan daripada rasul-rasul lain.

7. Bahayanya 3 perkara; -Yahudi. -Nasrani. -Keduniaan.

 

SAUDARA KAUM MUSLIMIN

Di dalam masyarakat kita hari ini boleh dikatakan kesemua penyakit masyarakat dan kesalahan besar yang diterangkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sedang berlaku. Bahkan pada masa sekarang bukan sedikit jumlah orang Islam tidak menjalankan segala rukun-rukun Islam yang lima termasuk sembahyang, puasa, zakat, haji dan tuntutan Islam yang lain. Segala-gala ini adalah kerana iman kita makin bertambah lemah, kita terdedah kepada pengaruh-pengaruh syaitan dan mudah pula dipengaruhinya.Iman kita lemah. Kita tidak tertarik untuk menghadiri ceramah-ceramah agama, kalau kita hadir kekelas-kelas ceramah pun bukan semata-mata untuk mencari ilmu dan mencari nasihat untuk kita amalkan. Kita juga gagal untuk mempengaruhi jiran-jiran dan kawan-kawan atau kita juga gagal mewujudkan keluarga yang benar-benar Islam. Dan gagal mendidik anak isteri kita sendiri. Segala kegagalan kita ini adalah berdasarkan kepada kelemahan iman sendiri dan cara yang paling utama yang kita lakukan ialah menyemai semula serta menyiram iman kita ini supaya ianya betambah subur dan sama-samalah kita berdoa, Ya Allah! Tambahkanlah iman kami, anak isteri kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami, jiran-jiran kami dan seluruh masyarakat Islam di negara ini dan di seluruh dunia amnya.